KHAZANAH ALAM SUMBER KECANTIKAN
SUHAIZA ABD GHANI - A 61301
http://pkukmweb.ukm.my/~ahmad/tugasan/s2_99/a61301.htm
ISI KANDUNGAN
PENGENALAN
RAHSIA KULIT CANTIK BERSERI
PETUA MENJAGA 'MAHKOTA'
TUMBUH-TUMBUHAN BERNILAI ESTETIKA
KESIMPULAN
BIBLIOGRAFI
PENGENALAN
Gambaran
nenek atau opah menjerang minyak berjam-jam di atas dapur kayu ataupun
menyapu santan pada rambut, pasti terbayang di ruang mata setiap kali
bercerita mengenai penjagaan kecantikan secara semulajadi. Maklumlah,
ketika itu belum ada teknologi canggih. Lantas wanita silam bergantung
kepada sumber asli bagi mengekalkan kecantikan mereka.
Mungkin
leluhur kita dahulu kurang arif mengenai kandungan vitamin atau garam
galian yang terkandung dalam akar-kayu, daun-daun atau rempah herba yang
digunakan. Bagaimanapun, kerana hidup yang sangat rapat dengan alam,
mereka berupaya menyelongkar rahsia atau misteri kecantikan yang
terkandung di sebalik tumbuh-tumbuhan dan buah-buahan.
Ternyata
keinginan wanita tampil cantik berseri tidak pernah pudar. Walau pada
zaman kekurangan, mereka tetap berusaha mencipta petua mengekalkan
kecantikan. Akan tetapi, kaedah yang digunakan tidak secanggih sekarang
kerana wanita dahulu hanya bergantung kepada bahan sedia ada.
Lagipun
masalah kecantikan ketika itu tidaklah serumit sekarang. Wanita silam
hanya ingin mengekalkan kecantikan, bukan mengubah wajah, rambut atau
kulit mereka. Berbeza wanita penghujung abad ini, bukan sahaja mahu
cantik, tetapi mahu tampil berbeza berbanding sedia kala.
Misalnya,
rambut hitam mahu diperangkan. Jika lurus, teringin kerinting. Hidung
sudah mancung, ditinggikan lagi. Apalagi yang kemik dan pesek. Selain
itu, masalah pencemaran alam serta penipisan lapisan ozon membuatkan
lebih banyak timbul masalah kecantikan yang pelik dan rumit.
RAHSIA KULIT CANTIK BERSERI
Wanita
silam mengutamakan kecantikan kulit dan rambut. Justeru, mandi lulur
sangat digemari. Mungkin kerana mereka kerap berjemur di bendang dan
ladang. Kesannya kulit mudah dibakar matahari, menjadi gelap, kering dan
bersisik. Lantas mereka rajin menyediakan ramuan mandi lulur, sama ada
menggunakan beras tumbuk ataupun rempah-ratus.
Ia bertujuan
melembut serta menghaluskan kulit. Biasanya, padi yang baru dituai
diasingkan secupak dua, dibuang kulit dan direndam berhari-hari. Airnya
mesti diganti dua kali sehari agar tidak busuk. Setelah separuh lembut,
ia ditapis dan ditumbuk separuh lumat.
Setiap kali sebelum
bersiram, beras lumat yang dicampur perahan limau nipis disapu pada
seluruh badan. Apabila separuh kering, baru disental untuk mengeluarkan
daki degil dan sel mati. Selain berlulur, amalan mandi susu (berendam),
juga disukai untuk mencerahkan kulit.
Jika mahu berseri, sesekali mereka mandi bunga dengan mencampurkan tujuh jenis bunga bersama sedikit perahan limau.
Bagi wanita bersalin, mandian daun-daun kayu paling digemari untuk
membuang angin di dalam badan, melancarkan peredaran darah serta
mengharumkan badan.
Hampas kelapa digunakan untuk menyental daki. Selain itu, campuran kapur makan dan
perahan limau nipis pula untuk menyental daki pada ketiak dan pelipat kaki.
Ada
juga menggunakan beras pulut. Caranya mudah- goreng beras pulut tanpa
minyak hingga kuning, kemudian tumbuk lumat. Ambil segenggam, titikkan
air agar lembap,gosok pada bahagian bermasalah. Bagi mengelakkan kulit
kering, mereka sapukan pula gel aloe vera (lidah buaya) ataupun minyak
sayur-sayuran.
Bedak sejuk daripada beras juga sangat elok untuk
menyejukkan muka, menghilangkan ruam serta menghaluskan kulit. Biasanya
beras direndam berbulan-bulan hingga lembut, dititik di atas daun pisang
dan dijemur berhari-hari. Setelah kering, disimpan di dalam mangkuk
tanah dan dicampur hirisan daun pandan, bunga melati atau mawar agar
berbau harum.
Bagi mengelakkan jerawat atau gatal-gatal, kunyit
hidup yang ditumbuk lumat disapu pada seluruh wajah kerana ia
mengandungi antiseptik semulajadi. Parutan buah jambu muda juga elok
untuk menghilangkan jerawat. Bagi menegangkan kulit muka, putih telur
segar (baru bertelur) disapu, manakala pupur parutan lobak dan timun
untuk menyegarkan kulit.
Selain itu, pupur kacang hijau dan badam
juga kerap digunakan untuk menjaga muka. Gel aloe vera boleh digunakan
sebagai pelembap. Bagi menghilangkan parut yang masih baru pada muka,
kulit pisang emas (bahagian dalam) disental pada kulit muka ataupun buih
daripada kayu api (misalnya kayu getah) disapukan.
PETUA MENJAGA 'MAHKOTA'
Walaupun
pelbagai teknologi canggih diperkenalkan bagi merawat serta
mencantikkan rambut, masih ramai wanita suka mengamalkan petua orang
tua-tua untuk menjaga ‘mahkota' mereka.
Antara yang paling
terkenal dikalangan orang Melayu ialah penggunaan santan. Khasiatnya
memang terkenal untuk melembut serta melebatkan rambut. Caranya mudah,
ambil kelapa tua dan perah pekat-pekat. Biarkan sejam agar patinya naik,
baru disapu pada rambut. Gunakan jari atau sikat bergigi jarang. Balut
dengan tuala bersih dan perap setengah jam.
Selain itu, minyak
kelapa yang dibuat sendiri juga elok untuk merawat rambut kering, pecah
hujung serta mudah gugur. Caranya mudah- perah santan daripada dua atau
tiga biji kelapa tua. Ambil yang pekat sahaja (dua kali perahan).
Kemudian jerang di dalam kuali besar tebal. Sebaik-baiknya guna dapur
kayu kerana tempoh memasak minyak kelapa ini sangat lama (hampir
sehari). Kemudian biarkan ia sejuk dan baru dijaram pada kepala.
Selain
itu, minyak bijan juga elok untuk melebatkan serta menghitamkan rambut.
Agar lebih harum, minyak dicampurkan dengan bunga melati atau daun
pandan. Bagi mengelakkan rambut hapak, sisa minyak dipastikan telah
dibasuh sebersih-bersihnya.
Wanita Jawa pula gemar menggunakan
abu batang padi untuk mencuci rambut. Biasanya batang padi yang baru
dituai, dibakar. Kemudian direndam semalaman, baru ditapis. Hampas
tapisan batang padi digunakan untuk mencuci rambut kemudian dibilas
dengan air rendamannya. Selepas itu baru dicuci dengan air biasa
sebersih-bersihnya.
Bagi menghilangkan kelemumur, campur
air perahan limau nipis dengan sedikit air dan genyeh pada kulit
kepala. Ada juga yang rajin, mengumpul embun pada awal pagi dan
diusap-usap pada pangkal rambut. Ia dipercayai mampu mempercepatkan
pertumbuhan rambut serta mengelakkan sakit kepala.Selain
itu, lendir daun bunga raya atau gel lidah buaya elok disapu pada kulit
kepala untuk menyejukkannya serta mengelakkan rambut gugur. Ia juga
bertindak sebagai perapi.
Dikalangan wanita Barat, penggunaan
minyak buah pic, ginseng (Notoginseng) dan minyak bunga kesumba
(safflower) digunakan secara meluas untuk mengatasi rambut gugur. Ada
yang menggunakan gel kaktus dan lidah buaya (aloe vera). Wanita Cina dan
Jepun pula menyukai pelbagai jenis akar ginseng, akar Dong Quoi, teh
herba Cina dan halia untuk merawat rambut mereka.
Sebenarnya,
setiap wanita dari negara berbeza mempunyai cara tersendiri untuk
merawat masalah kecantikan. Tumbuh-tumbuhan, buah-buahan, bunga dan daun
kayu yang digunakan juga berbeza, bergantung keadaan geografi serta
cuaca dan musim di negara berkenaan. Misalnya, wanita New Zealand
memanfaatkan buah kiwi untuk mengatasi seribu satu masalah kecantikan
dan kesihatan mereka.
TUMBUH-TUMBUHAN BERNILAI ESTETIKA
Perkembangan
pesat dunia sains secara global menyaksikan pelbagai penyelidikan
dibuat pada pelbagai jenis tumbuh-tumbuhan. Ini bertujuan untuk
mengeksploitasi khasiat tumbuh-tumbuhan ini sebagai ramuan dalam
menghasilkan produk penjagaan kecantikan. Berikut diberikan beberapa
contoh tumbuhan yang mempunyai nilai estetika yang tinggi dan sering
menjadi tumpuan pakar-pakar kecantikan.
Khasiat Limau PurutLimau
purut atau Citrus Hystrix DC tergolong dalam buah-buahan sitrus yang
amat terkenal dalam sejarah penjagaan rambut. Sebelum perapi rambut
diperkenalkan, perahan limau yang turut mengandungi asid sitrik
digunakan serata dunia untuk merapi dan menyinarkan rambut.
Asid
sitrik kini lebih dikenali sebagai AHA dengan khasiat tersendiri,
sentiasa digunakan membuat krim kulit yang dirumus daripada AHA.
Kandungan asidnya membantu mengekalkan kelembapan kulit.
Terkenal
sebagai sumber asid sitrik terbaik, buah limau purut berbentuk bulat
dan kulitnya hijau berkedut. Pokoknya pula kecil. Batang dan rantingnya
dipenuhi duri. Daunnya berbentuk kembar dua, berwarna hijau dan
selalunya digunakan sebagai penambah aroma makanan. Ada kala daunnya
dijadikan air rebusan mandian terutama ketika dalam pantang.
Buahnya
boleh digunakan terus untuk mencuci kepala, dipercayai boleh
menghilangkan kelemumur, melegakan kulit kepala dan mengharumkan rambut.
Ia juga boleh digosok pada seluruh badan untuk menghilangkan bau badan.
Kini,
limau purut turut dijadikan bahan asas barangan dandanan diri terutama syampu dan sabun mandi. Khasiat Adpokat
Adpokat
(bahasa Inggeris avocado), tergolong dalam kumpulan pokok renek,
terkenal zaman-berzaman. Bagi puak India Amerika, ia sumber makanan dan
agen lemak serta penyembuh penyakit. Sebab itu ramai wanita menggosok
minyak daripada buahnya pada kulit agar kulit kekal muda.
Mereka
yang tinggal di kawasan tropika menggunakan minyak adpokat untuk
melindungi kulit daripada kering atau merekah kesan pencemaran.
Berasal
dari Amerika Tengah , ada yang mengatakan negara asalnya Mexico dan
perkataan avocado sendiri berasal daripada nama orang Mexico, Ahuacale.
Kini,
kebanyakan pokok adpokat ditanam di kawasan tropika dan separuh tropika
seperti di California, Florida, Mexico, Amerika Selatan, Sepanyol,
Portugal, Israel dan Afrika Selatan. Jenisnya melebihi 400.
Daunnya
kusam, berbentuk bujur dan tajam di hujung. Ukurannya 8-20 cm panjang
dan 4-9 cm lebar. Bunganya halus berwarna coklat kekuningan dan berada
di celah daun.
Manakala buahnya berbentuk bujur seperti pir,
bijinya satu dan berisi tebal, lembut, manis dan wangi. Ukurannya antara
7-20 cm dan kulitnya berwarna hijau tua hingga coklat kemerahan seakan
ungu serta mudah dikupas.
Adpokat dipercayai ada khasiat semula
jadi tersendiri. Daunnya berkhasiat melawas kencing, membuang angin,
membetulkan perjalanan haid dan membuka selera.
Buahnya yang
mengandungi minyak lemak, lesitin dan phistosterin, digunakan untuk
mengubat luka, membetulkan perjalanan haid dan merangsang syahwat.
Selain
buahnya dimakan begitu sahaja, minyak adpokat digunakan untuk
menyediakan mayonis. Ramai tidak tahu, adpokat kering boleh dikisar
untuk dibuat tepung.
Keistimewaan adpokat turut mendapat
perhatian pengeluar alat solek dan barangan penjagaan diri kerana
berkhasiat melegakan rengsa, menyaman dan melindungi kulit. Ia amat
sesuai dan berkesan untuk kulit peka dan kering. Sebab itu, ia digunakan
dalam minyak mandian, krim dan losyen khusus untuk kulit kering. Tidak
ketinggalan, ia dijadikan bahan utama dalam syampu dan perapi rambut,
terutama bagi rambut kering.
Khasiat Zaitun
Pokok
zaitun atau olive dalam bahasa Inggeris, sejenis pokok hijau di kawasan
separuh tropika, terkenal tumbuh di hampir seluruh Mediterranean
terutama kawasan kering.
Berbatang menggerutu hijau kelabu,
dengan ketinggian 7-12 meter. Daunnya halus meruncing berwarna hijau
kelabu dan sedikit keras. Berbunga halus keputihan, buah yang dihasilkan
berwarna hijau kekuningan berbiji ungu seakan batu.
Sejenis
tanaman ladang, buahnya dipungut dengan hanya menggoncang pokok. Lalu ia
disatukan sama ada untuk membuat minyak atau dimakan begitu sahaja.
Dipercayai
minyak zaitun antara minyak masak terbaik, berperisa dan mudah dicerna.
Ia juga bahan mentah asas untuk menghasilkan alat solek bermutu.
Perahan buah zaitun pada cuaca sejuk boleh menghasilkan 40% hingga 60 %
minyak yang mengandungi 75% gliserad (glycerides) daripada asid oleic
dan selebihnya daripada asid linolenik dan palmatik. Di bawah suhu
tinggi, minyak yang dihasilkan lebih rendah mutunya dan terdedah kepada
asid lemak bebas.
Sebagaimana minyak badam dan adpokat, minyak
zaitun juga digunakan untuk membersih kulit peka di samping melindungi
kulit daripada kering dan tua sebelum waktu, kerana ia berkhasiat
melembap dan memulihkan. Sebab itu ia sering digunakan untuk
menghasilkan pelembap, krim tangan dan antikedut. Ia boleh digunakan
terus tanpa pewangi atau selepas diproses menjadi barangan kecantikan
seperti krim, syampu, buih dan minyak mandian.
Difahamkan, losyen
dan krim terbaik yang dihasilkan daripada minyak asli khusus untuk
kulit kering selalunya mengandungi minyak zaitun atau bijan.
Dari
sudut perubatan, minyak zaitun dijadikan perantara kepada ubat yang
dilarutkan di dalam minyak seperti untuk mengubati perut memulas,
mengeluarkan batu karang halus atau dijadikan julap.
Tergolong
antara buah-buahan terkenal, zaitun enak dimakan sama ada sebelum masak
atau masih hijau, dibuat jeruk ataupun apabila masak dan berwarna hitam.
Kayunya yang keras turut digunakan sebagai bahan ukiran.
Khasiat Urang-aring
Urang-aring
(bahasa Inggeris Eclipta atau Daun Siput dalam dialek Sumatera) sejenis
tumbuhan liar bertangkai banyak. Tumbuhnya di tempat terbuka seperti di
bahu jalan, tanah lapang dan di tepi pantai yang ketinggiannya 1,500
meter dari paras laut.
Tanaman renek ini hanya setinggi 80 cm
dalam keadaan tumbuh menegak atau kadangkala terbaring. Batangnya bulat
hijau keperangan, berbulu kasar warna putih. Daunnya berwarna hijau
bentuk bujur telur, kelilingnya bergerigi halus dan ada kala hampir
rata, manakala hujungnya meruncing. Kedua-dua permukaan daun berbulu
kasar. Bunganya berbentuk bongkol, kecil, berwarna putih dan di
tengahnya berwarna kuning. Buahnya memanjang, pipih, keras dan berbulu.
Dari
segi sifat kimia, rasanya bergabung manis dan masam serta sejuk. Ia
berkesan menghentikan pendarahan, menurunkan darah dan antitoksin.
Kesannya masuk menerusi hati dan ginjal.
Untuk merawat, biasanya
seluruh bahagian pokok digunakan, sama ada segar atau kering. Ia turut
dipercayai menghentikan muntah darah, batuk darah, kencing darah, berak
darah, pendarahan rahim, kurang gizi pada kanak-kanak, keputihan, rambut
beruban sebelum waktu dan banyak lagi.
Kini herba yang tumbuh
meluas di sepanjang daratan India ini, turut digunakan sebagai bahan
kecantikan terutama untuk merawat rambut. Jika dulu ia terkenal
dijadikan bahan minyak rambut generasi demi generasi, kini ia dijadikan
bahan utama syampu yang dikatakan berkesan mengekalkan seri rambut di
samping memantapkan keaslian warnanya.
Dalam bentuk tulen,
pokok ini juga digunakan sebagai pewarna semula jadi pada rambut. Ia
menyerap cahaya UV dengan berkesan dan menggalakkan peredaran darah pada
kulit kepala. Secara umum ia juga membantu pertumbuhan rambut dan
mengurangkan keguguran rambut.
KESIMPULAN
Tuntutan
hidup yang kian bertambah dan semakin rumit menyebabkan amalan
penjagaan kecantikan berasaskan sumber asli kian dilupakan. Tambahan
pula kebanyakan wanita sentiasa sibuk dengan kerja dan tugas harian
menyebabkan mereka tidak sempat lagi menumbuk beras atau menjerang
santan untuk merawat kecantikan.
Bagaimanapun, kesedaran mengenai
khasiat semula jadi daripada alam membuatkan kita menghargai kembali
barangan penjagaan kecantikan berasaskan bahan semulajadi. Ia mendorong
banyak pengeluar menggunakan bunga, daun, akar kayu atau buah-buahan
dalam pembuatan kosmetik, krim muka, minyak atau tonik rambut.
Penggunaan
bahan semula jadi juga meningkat kerana kecenderungan saintis mengkaji
kandungan tumbuh-tumbuhan serta manfaatnya kepada kecantikan. Hasilnya
terbongkarlah rahsia garam galian, vitamin A,B,C,D dan E serta asid
linolik, asid nucleic, asid alfa hidroksida, asid beta hidroksida,
protein dan kalsium.
Bahan -bahan ini sangat penting untuk
membaiki tisu atau sel rosak, mengukuhkan struktur rambut, menggalakkan
pertumbuhan rambut, merangsang pengaliran darah, menganjalkan semula sel
kolagen dan elastin serta melindungi kulit daripada pencemaran alam.
Misalnya, kandungan beta kerotin dalam lobak dan tembikai sangat elok
untuk membaiki sel dan tisu rosak.
Kini, terpulanglah kepada
wanita sama ada mahu memilih barangan kecantikan berasaskan bahan semula
jadi untuk merawat kecantikan ataupun mengadun sendiri ramuan dihajati
bagi mengatasi masalah kulit atau wajah juga rambut mereka. Walau apa
jua kaedah dipilih, berhati-hati dan pastikan bahan digunakan atau
disediakan bersih, tiada kesan sampingan dan tidak digunakan
berlebih-lebihan. Jika masih ragu-ragu, rujuk kepada yang lebih arif.
BIBLIOGRAFI
1) Siti Haidah Asri; Ubat Awet Muda; Wanita; Ogos 1997; Bilangan 373; Halaman 96
; Utusan Melayu (Malaysia) Berhad
2) Zunairah Radzi; Kenali Khasiat Tumbuh-tumbuhan; Jelita; Jun 1999; Bilangan 274
; Halaman 99; Berita Publishing Sdn. Bhd
3) Wan Normi Hassan; Keajaiban Minyak Mawar; Kosmik; Mei 1999; Halaman 38; Media
Network Sdn. Bhd
4) Azizah Ismail; Tip Kesihatan; Mastika; September 1998; Bilangan 688; Halaman
78; Utusan Melayu (Malaysia) Berhad
5) Salawati Haris; Petua Berubat Menggunakan Buah-buahan Dan Tumbuh-Tumbuhan;
Wawancara; April 1999; Bilangan 24; Halaman 87; Perdana Production House Sdn
Bhd